Friday, December 17, 2010

KHAULAH Srikandi di medan perang...





"KHAULAH binti Al-Azwar adalah wira wanita yang menyertai Perang Ajnadin ke Syam di bawah pimpinan Panglima Khalid bin Walid ketika zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar. Dalam peperangan hebat itu, tentera Islam dengan gigih menyerbu Ajnadin dari arah Palestin. Pasukan Romawi pimpinan Teodore dari sebelah utara Syam pula berusaha menghalang kemaraan pasukan Arab.

Dalam peperangan itu, Dhiraar bin Al-Azwar, pahlawan perang yang terkenal dengan keberanian sehebat seribu perajurit ditawan pasukan Romawi. Keadaan itu menyebabkan Khalid begitu marah dan memerintahkan pasukannya membebaskan Dhiraar.

Dalam gelora perang itu, pasukan Romawi tiba-tiba dikejutkan seorang perajurit Islam bertopeng yang bertempur bermati-matian menewaskan beberapa perajurit Romawi.

Keberanian perajurit bertopeng itu begitu mengagumkan. Panglima Khalid sendiri berasa hairan. Siapakah perajurit bertopeng itu?

Ketika ditanya, perajurit bertopeng itu mengelak tetapi Khalid terus mendesak. Akhirnya, rahsia terbongkar.

“Wahai panglima. Aku tidak mengelak darimu kecuali kerana rasa malu terhadapmu. Anda seorang panglima besar, sedangkan aku wanita. Tetapi. Aku terpaksa melakukan ini kerana hatiku sakit dan marah.

“Aku adalah Khaulah binti Al Azwar. Aku sedang bersama wanita kaumku. Kemudian datang orang memberi khabar bahawa saudaraku Dhiraar ditawan, maka aku pun menaiki kuda dan melakukan apa yang anda lihat ini.”

Khalid sedih bercampur hairan, mengapa wanita sanggup keluar ikut berjihad dengan gigih untuk menyelamatkan tawanan perang.

Sejak itu, Panglima Khalid bersumpah menyelamatkan Dhiraar. Peperangan terus berkecamuk dan akhirnya, kemenangan berpihak kepada pasukan Arab. Dhiraar berjaya dibebaskan daripada tawanan Romawi.

Demikian sejarah perjuangan Islam yang disertai serikandi Islam yang tidak gentar bertempur bersama perajurit lelaki. Mereka berada di belakang pasukan kerana jika ada perajurit yang luka, mereka yang merawatnya.

Hingga zaman pemerintahan Usman bin Affan, Khaulah menyaksikan pelbagai peristiwa dan bencana. Kegigihannya di medan peperangan menimbulkan kekaguman seperti peristiwa pertempuran bertopeng itu.

Suatu ketika, kepala perajurit Romawi menjadi mangsa pukulan tiang khemah yang dicabut Khaulah ketika beliau memimpin wanita yang bersamanya di medan peperangan.

Ia berlaku ketika pertempuran pasukan Arab dan Romawi kedua di Maraj Daabiq. Sekali lagi, Khaulah kehilangan saudara lelakinya, Dhiraar, yang ditawan musuh. Kesedihannya digarap pada syair dan tangisan yang mendorong semangat pasukan Islam untuk menuntut Romawi membebaskan Dhiraar.

Beberapa wanita lain yang suami mereka menjadi tawanan turut memberi semangat supaya tentera Islam lebih berani.

Pasukan Arab berjaya menyerbu daerah utara Syam dan mengepung Antarkia manakala beberapa tawanan dibebaskan, termasuk Dhiraar. Malangnya Khaulah dan beberapa wanita lain pula menjadi tawanan Romawi.

Dalam tawanan pasukan musuh itu, Khaulah tidak menyerah kalah. Beliau berseru kepada temannya: “Hai puteri Himsyar sisa keturunan Tubba, apakah kalian rela menjadi tawanan Romawi dan anak kalian menjadi budak mereka?

“Lebih baik kita mati daripada menjadi tawanan yang hina dan melayan Romawi keparat.”

Dengan semangat pantang menyerah, Khaulah mengetuai teman tawanan wanita dengan mengambil tiang khemah. Bersenjatakan tiang itu, mereka melawan pasukan Romawi dengan memukul kepala mereka. Berkat keberanian itu, mereka berjaya membebaskan diri.


diambil disini

Thursday, December 2, 2010

MENYESAL PAKAI TUDUNG LABUH?



Dia menangis tersedu dalam dakapanku."Kalaupun saya salah, tak boleh ke mereka tegur depan-depan? Kenapa perlu cakap-cakap kat belakang". Aku mengusap lembut belakangnya, cuba menenangkan." Saya rasa saya ni macam jahat sangat, saya tak tahu pun mereka tak suka dengan sikap-sikap saya".

"Saya rasa macam semua orang tak suka saya, cakap buruk tentang saya saya kat belakang", tangisnya makin menjadi-jadi, tak pernah aku lihat dia menangis sebegitu kerana dia biasanya hanya suka berdiam dan memendam, susah meluahkan perasaan.

"Mereka kata macam-macam, saya ni pakai je tudung labuh, bawa imej Islam tapi perangai tak macam orang tudung labuh. Salah ke saya menegur kalau saya nampak mereka buat perkara tak betul? Memang saya akui saya agak tegas dan berterus terang, tapi saya bukan nak malukan mereka. Saya tahu saya tak sempurna, saya bukan budak sekolah agama, banyak lagi ilmu saya tak tahu. Mereka kata masa saya tak pakai tudung labuh dulu, saya tak macam ni", rintihnya lagi.

Aku biarkan saja dia terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya, biar dia lega. Aku leraikan pelukannya, namun terus mengelus lembut bahunya, mudah-mudahan dia diberi kekuatan.

"Awak menyesal pakai tudung labuh?", aku meneka. Dia hanya membisu. Dikesatnya air jernih yang turun melaju dari tubir matanya. Aku dapat mengagak jawapan disebalik kebisuannya. "Awak berputus asa nak menegur mereka lagi?", saya terus menduga. "Buat apa nak tegur lagi, kalau tegur pun akhirnya saya yang kena kutuk", perlahan dia menjawab dalam sedu sedannya.

"Awak, Allah nak uji awak hari ini. Inilah harga tudung labuh yang kita pakai, inilah harga yang kita terpaksa bayar. Siapa kata pakai tudung labuh senang? Tak mudah seperti yang mereka nampak. Bila dah bertekad untuk pakai tudung labuh, kita kena siapkan juga fizikal, mental dan hati kita, kena kuat, kena tahan dengan cabaran. Dan inilah antara ujiannya. Bilamana kita orang yang bertudung labuh buat silap, terus dikaitkan dengan agama. Bahkan kita ni jadi perhatian di mana-mana. Pada mereka, kita kena jadi sempurna, kena tahu semua ilmu agama, dan tak boleh buat silap sikit pun. Sedangkan, kita juga manusia, manusia yang banyak sangat kelemahan", saya bersuara sambil memandang tepat ke wajahnya yang sugul.

"Jangan pernah menyesal dengan diri awak, tudung awak. Jangan kerana masalah sekecil ini, awak dah mengalah. Ujian ni banyak sangat hikmahnya untuk awak. Allah nak ajarkan tentang sesuatu kepada awak. Sebelum ini awak mungkin tak pernah rasai ujian bila bertudung labuh, awal-awal dulu, semua menyokong, memuji dan beri galakan.Jadi mungkin awak tak terkesan sangat dengan istimewanya diri awak sekarang. Bila Allah datangkan ujian macam ni, baru kita akan rasai, betapa tak mudah sebenarnya, bersama tudung yang kita pakai, ada tanggungjawab besar yang kita bawa bersama. Tanggungjawab untuk memegang amanah membawa imej Islam, tanggungjawab memperbaiki diri, biar dalaman kita secantik luaran, akhlak kita indah sebagaimana tudung kita, tanggungjawab mempersiapkan diri dengan ilmu, kerana wanita seperti kita selalu jadi tumpuan bila sahabat-sahabat ada permasalahan agama. Jangan anggap ia sebagai beban, anggap ia sebagai keistimewaan, yang Allah bagi hanya khas kepada insan-insan yang Dia pilih. Nah, betul kan, bertudung labuh tak semudah yang disangka? Hanya yang betul kental saja dapat terus istiqamah dengannya, dan yang istiqamah dalam mengharapkan keredhaan Allah, bukan kah mendapat tempat istimewa di sisiNya? Awak tak nak jadi terkenal pada padangan Allah dan penduduk langit? Awak dah nak berputus asa?" Aku menduga.

Melihat dia terus membisu, aku bersuara lagi. " Begitu juga, ujian ini mungkin nak menyedarkan sesuatu tentang dakwah yang berhikmah. Dulu kita biasa saja dengarkan, kat mana-mana ustaz cakap, dalam mana-mana buku yang kita baca, dakwah mesti berhikmah. Jadi sekarang Allah ajar awak bukan teori saja apa itu dakwah berhikmah, tapi juga praktikalnya sekali. Bagaimana dakwah berhikmah? Mesti kena caranya, tempatnya, sesuai perkataanya, tidak melukakan, tidak menyebabkan kemarahan orang yang kita nasihatkan. Bagaimana kalau dakwahnya tidak berhikmah? Maka jadilah, dakwah kita tak berkesan, mad'u kita terasa jauh hati dengan nasihat kita, dan akhirnya keluar lah cakap-cakap belakang macam yang awak alami. Jadi, awak jelaskan? Kenapa bersungguh benar Allah dan rasul minta kita berdakwah secara berhikmah. Dan mungkin Allah nak tegur, cara awak, Allah nak awak perbetulkan kaedah dakwah yang awak guna, Allah nak kata, salah tu, kena perbaiki. Salahkah Allah tegur? Tak salah, kan. Allah tegur sebab Allah sayang, Allah tegur sebab nak bagi kekuatan, Allah tegur supaya kerja-kerja ini dapat awak laksanakan dengan lebih berkesan. Bila berdakwah, kita berhadapan dengan macam-macam ragam orang. Ada yang sensitif, ada yang terbuka, jadi kena bijak kita sesuaikan. Dai'e yang kental, takkan putus asa, sebab dia tahu, dakwah adalah kewajipan, bukan pilihan."

"Lagi, Apa Allah nak bagitahu awak? Terasa sangat sakit dan terluka bila kita jadi bahan umpatan, kejian dan kelemahan kita dibicarakan kat belakang, kan? Jadi bila kita tahu sakitnya macam ni, kita jangan sesekali buat perkara sama kepada sahabat kita sebab kita dah tahu betapa pedihnya, betapa peritnya akibat daripada perbuatan ni. Boleh lukakan hati orang, boleh menyebabkan permusuhan juga. Bila ada apa-apa yang perlu ditegur, dinasihati, jumpa sahabat kita sendiri, cakap secara jujur dan ikhlas, insyaAllah semua orang suka kalau kelembutan digunakan, cepat meresap. Kalau pun dia mungkin tak dapat terus berubah, sekurang-kurangnya dia tak terasa hati, dan tak ada permusuhan antara kita"

"Awak, walaupun awak rasa ujian ni sangat menyakitkan hari ni, tapi saya tak tengok satu pun perkara buruk yang Allah maksudkan terhadap awak. Semuanya ada hikmah yang sangat indah. Kenapa teguran Allah ini begitu perit,sakit? Sebab Allah nak kita ingat, sebab yang menyakitkan tu lebih lekat dalam ingatan kita, kalau ujian tu senang, mungkin kita tak hargainya. Allah nak kejutkan kita, mungkin Allah terpaksa 'menyergah' kita dengan kuat." Sedu-sedannya telah reda, Ya Allah semoga kekalutan jiwa dia juga begitu.

"Habis, apa saya kena buat?", tanyanya. "Sekarang awak perlu sujud taubat kepada Allah, minta keampunanNya, mungkin ada kesilapan yang awak tak sedari, bersyukur padaNya sebab menegur awak dengan ujian begini. Kemudian pergilah jumpa sahabat-sahabat yang terasa dengan awak tu, minta maaf. Sekarang tak timbul isu siapa bersalah pada siapa dulu, tapi yang sebaik-baiknya adalah leraikan permusuhan, minta dan beri kemaafan." jawabku. Dia menggenggam tanganku erat, "Terima kasih sahabat". "Allah yang sedang memujuk awak, saya pelakon tambahan saja, tapi saya bersyukur, Allah kurniakan anugerah pengajaran yang tak ternilai untuk saya hari ni. Terima kasih ya Allah, terima kasih pada awak juga" Hatiku tenang, moga Allah memberi dia ketenangan yang sama.

ayu zamani: sahabat, walau siapa pun kita, pakai tudung labuh, tudung biasa, atau yang tidak bertudung sekaliun, kita SEMUA adalah manusia biasa, yang lemah, ada cacat celanya. Sekiranya ada sahabat kita terlalai, terlupa, tolonglah ingatkan dia dengan sebaik cara. Dan yang paling uatama, setiap apa saja ujian yang mendatangi kita, berbaik sangkalah pada Allah. Bertenang, dan fikirkan hikmahnya dengan rasional. InsyaAllah, pasti dan pasti Allah tidak akan pernah menzalimi kita..

ayu zamani

081227112010

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails