Thursday, November 26, 2009

salam aidil adha



Maha Suci Tuhan, menciptakan dua susuk tubuh yang amat akur pada perintah seorang Pencipta. Betapa sukarnya Nabi Ibrahim untuk bertemu semula dengan anaknya yang ditinggalkan sejak dari kecil,dan setelah bertemu diminta pula untuk dikorbankan. Namun,cinta Allah lebih agung dari segalanya,disuarakan jua riwayat mimpi kepada si anak kecil yang masih belum kenal pada dunia, tetapi telah mengenal erti cinta. Cinta seorang hamba kepada Tuannya.

Dua susuk tubuh ini sama-sama IKHLAS berKORBAN demi CINTA kepada Allah swt.Betapa lemahnya langkah Nabi Ibrahim ketika itu kerana tahu nasib yang akan menimpa Nabi Ismail,anak kesayangannya. Dan Allah swt tidak pernah lekang walau sesaat menghitung rintih hiba hambaNya ini,apatah lagi untuk menzalimi hambanya yang beriman yang akhirnya DIA mengurniakan rahmatNya:

'Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: ' (As-Saaffat:107-108)

Sahabat,
ini merupakan kekasih Allah yang diuji sebegini rupa, bagaimana pula dengan diri kita?
Cubaan dan dugaan yang dihadapi setiap hari kehidupan tidak ternilai berbanding mereka.
Namun masih kita mudah berkeluh kesah dan lupa akan nikmat pemberianNya.
Layakkah kita ke syurga berbekalkan mahar yang dibawa?


Cinta Nabi Ibrahim kepada Sang Pencipta mengorbankan si anak yang sangat dikasihinya,
Cinta Nabi Ismail menundukkan jiwa seorang bapa untuk redha pada ketentuan dariNya,
Bagaimana pula dengan cinta kita?
Mampukah kita mengorbankan segala harta dan masa
Apatah lagi jika yang menjadi taruhan adalah nyawa
Sungguh, kita umat akhir zaman yang lalai dengan dunia
Sehingga lupa kepada cinta kepada Pencipta
Masa dibazirkan dengan berhibur dan duduk bersahaja
Harta menjadi aset untuk berlumba siapa yang lagi kaya
Bila ditanya bila nak bertaubat,jawabnya bersahaja
Tunggu nanti bila meningkat tua
Sia-sia lah separuh usia amanah dari Yang Esa.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah, telah cukupkah pengorbanan kita kepada agama ini sepertimana pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kerana sejarah telah membuktikan, tiada cinta tanpa pengorbanan!




Tuesday, November 3, 2009

malunya seorang wanita



MUKADDIMAH

Dulu2 saya ada ditanya oleh bekas pelajar sy ada bertanya tentang muslimah yang menayangkan pelbagai gambar didalam blog dan freindster. Saya jawab hukumnya harus selagi mana ia menutup aurat. Namun dari sudut adab yang tinggi bagi seorang muslimah tidak selayaknya sebagai muslimah yang mempunyai sifat malu yang tinggi untuk dia
sewenang-wenangnya mendedahkan diri dan mukanya kepada khalayak ramai tanpa tujuan yang dibenarkan. Sebentar tadi saya baca buku "makarimul akhlak Fil Islam" yang tentang kisah seorang wanita yang malu mendedahkan mukanya di mahkamah perbicaraan Islam. Oleh itu saya ingin menulis tentang malunya seorang wanita.


MALUNYA WANITA DALAM QURAN

Didalam al-Quran disebut kisah dua anak Nabi Syuaib as dengan Nabi Musa as. Firman Allah swt:

"Salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib as berjalan untuk menemui Nabi Musa dengan penuh rasa malu" (25 :al-Qasas)

Dalam tafsir Sofwatut Tafasir menyatakan anak perempuan> Nabi Syuaib as datang sambil menutup mukanya dengan pakaiannya.

Anak Nabi Syuaib as ini datang berjumpa dengan Nabi Musa atas arahan ayahnya yang sudah uzur.

Pengajaran: Wanita yang mempunyai urusan dengan lelaki hendaklah berjumpa dengan penuh rasa malu dan adab yang tinggi.

MALUNYA WANITA DALAM SUNNAH

كان صلى الله عليه وسلم أشد حياء من العذراء في خدرها


"Nabi saw tersangat malu lebih dari malunya anak dara yang berada disebalik tirainya." (Hr Ahmad-sahih)

Dalam hadis menunjukkan kepada malunya seorang wanita terutama anak dara. Ia sepatutnya tidak mempamirkan diri kepada yang bukan mahramnya tanpa keperluan.

KISAH MALUNYA SEORANG WANITA

Seorang isteri telah mengemukakan aduan kepada qadi Mu'tadid Ali ar-Rayy tentang 500 dinar (wang mas) kahwin yang belum dibayar oleh suaminya. Wanita tadi membawa beberapa orang saksi yang menyokong dakwaannya. Si suami tidak mengakui dakwaan si isteri. Qadi pun menyuruh saksi-saksi untuk mengemukakan penyaksian mereka untuk menyokong dakwaan si isteri. Para saksi berkata: "Wanita ini hendaklah memperlihatkan wajahnya supaya kami dapat pastikan dia lah wanita yang kami maksudkan."

Si Qadi menerima permintaan para saksi dan menganggapnya itu hak saksi2. Wanita menolak untuk menunjukkan mukanya kerana malu. Si Qadi menyuruh wanita tadi untuk memperlihatkan wajahnya untuk meneruskan dakwaan tadi. Tiba2 si suami yang bersimpati dengan isterinya segera berkata:

"Tidak usah tunjukkan muka mu. Aku mengakui dakwaan mu itu."

Si isteri terkesan dengan sikap suaminya lalu berkata:

"Aku menjadikan Allah sebagai saksi dan juga kamu semua bahawa aku halalkan semua mas kahwinku dunia dan akhirat."

Pengajaran: Walaupun ditempat yang sepatutnya wanita tadi membuka purdahnya untuk mendapatkan haknya tetapi oleh kerana itu sifat malu yang tinggi menyebabkan dia sanggup mengorbankan 500 dinar (wang emas).

KESIMPULAN

Oleh itu, walaupun wanita diharuskan meletakkan gambarnya diruang yang dilihat oleh bukan mahramnya selagi menutup aurat tetapi sebagai muslimah yang kuat pegangannya dengan Islam dan sifat malunya yang tinggi hendaklah menjaga dari mendedahkan gambarnya tanpa sebab dan tujuan seperti diletakkan gambarnya di blog dan friendster. Terutama yang mempunyai paras rupa yang cantik amatlah dituntut untuk mengelakkan perkara ini. Ini kerana Islam melarang wanita melakukan perkara yang boleh mencairkan hati lelaki dan menimbulkan fitnah. Firman Allah swt:

ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن

"Janganlah para wanita itu menghentak kakinya dengan tujuan supaya orang lelaki mendengar bunyi gelang kakinya sehingga menarik perhatian orang lelaki." (Sebahgian ayat 30 : an-Nur)

Peringatan: Hendaklah sifat malu ini tidak memilih jenis bangsa dan tempat. Jangan di luar negara (mesir contohnya) mempunyai malu yang tinggi tetapi tidak dimalaysia. Hendaklah sifat malu itu kerana Allah bukannya kerana manusia. Sentiasa mengawasi kita dimana sahaja kita berada.

MALUNYA WANITA TIDAK MENEGAH IA UNTUK KELUAR MENUNTUT ILMU AGAMA

Walaupun Islam menyanjung sifat malu pada wanita tetapi hendaklah sifat malu itu tidak menegah dari dia keluar menuntut ilmu. Kita lihat kesungguhan para wanita di zaman Nabi saw. Abu Sai'id al-Khudri berkata:

Seorang wanita berjumpa Rasulullah saw dan berkata "Wahai Rasulullah, orang2 lelaki beruntung kerana selalu mendapat tazkirah darimu. Kami minta satu hari untuk kamu khususkan kepada kami bagi menyampaikan ilmu yang telah engkau ajarkan." Lalu Nabi saw menjawab:

اجتمعن يوم كذا وكذا

"Berhimpun pada hari sekian-sekian. "

Kami pun berhimpun pada hari yang telah ditetapkan Nabi danNabi saw mengajar mereka apa yang telah ajarkan pada Nabi saw." (Hr Bukhari dan Muslim - sahih)

Dalam athar ada menyebut:

نعمت النساء نساء الأنصار لم يمنعهن الحياء من السوءال عن دينهن

"Sebaik-baik wanita adalah wanita ansar, sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka bertanya dan mencari ilmu agama."

Pengajaran: Oleh itu ditempat yang diperlukan , wanitahendaklah berani ke hadapan. Kita lihat zaman Nabi dan parasahabat bagaimana berani Nusaibah ra berjihad menentang musuh, Rafidah al-Aslami merawat orang lelaki yang cederadalam peperangan, Asma' bintu Abu bakar yang menghantarmakanan pada Nabi dan ayahnya dalam peristiwa hijrah,Khaulah yang menegur Khalifah umar di khalayak ramai dan lain-lain. Jangan menggunakan alasan malu untuk menjauhkan dari kerja-kerja menegakkan Islam. Kerja-kerja ini adalah melibatkan lelaki dan perempuan seperti yang dinyatakan
dalam ayat 71 surah at-Taubah.

Rujukan: Safwatut Tafasir oleh Sobuni, Makarimul Akhlak Fil
Islam dan Riadus salihin oleh Imam Nawawi.

nilai tudung seorang wanita



Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada’ dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui “Islam is really beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Artikel Wanita Cinta ini telah dikirimkan oleh anai di Forum Tentang Cinta.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails