Wednesday, May 6, 2009

sempurnakah kita menutup aurat [part 2]



Di dalam entri yang lepas, ana telah menyentuh mengenai dengan bahagian-bahagian aurat yang wajib ditutup oleh lelaki dan perempuan. Rasanya bagi lelaki, aurat yang wajib ditutup telah pun jelas dan tidak banyak yang perlu dibincangkan. Jadi dalam entri ini ana ingin fokuskan kepada permasalahan aurat perempuan. Sekali lagi ana mohon jasa baik para pembaca yang dikasihi untuk membetulkan mana-mana kesalahan yang terkandung di dalam entri ini, kerana ana sendiri bukanlah seorang yang ahli dalam bidang ini, tetapi rasanya tidak salah untuk ana mengongsikan apa yang ana tahu ini untuk manfaat bersama sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: "Sampaikanlah dariku oleh mu walau satu ayat..."

Di sini ana ingin ketengahkan beberapa fenomena 'penutupan aurat' yang berlaku pada masa kini, (mungkin berlaku juga di masa-masa lampau, Allahua'lam) khususnya bagi kaum Hawa.

Ada sesetengah kaum hawa berpendapat dengan menutup rambut sahaja sudah memadai dan sudah memenuhi tuntutan menutup aurat, sedangkan anggota-anggota badan yang lain seperti leher, lengan, tapak kaki masih jelas ditayangkan. Bukankah aurat wanita yang WAJIB ditutup dengan sempurna ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan? Ini bermakna bukan rambut sahaja yang wajib ditutup dan perlu dititik beratkan, anggota-anggota lain juga perlu diberikan pemedulian yang sama rata.

Ada pula yang menutup rambut dengan sempurna, memakai pakaian berlengan panjang, seluar panjang mencecah bumi dan sarung kaki berwarna warni, tetapi semuanya ketat-ketat dan sendat-sendat belaka sehingga menampakkan susuk tubuh yang sepatutnya disembunyikan. Senario ini lebih kurang sama dengan cara pakaian 'Cat Woman', semuanya tertutup termasuk muka dan rambut, tapi susuk tubuh masih tertonjol. Bukankah salah satu ciri menutup aurat ialah tidak menampakkan BENTUK nya? Jadi dalam masalah ini, aurat masih lagi belum ditutup dengan sempurna.


Ada pula yang pakai tudung tapi rambut dibiarkan terdedah kepada pandangan manusia yang haram melihatnya. Maksudnya, rambut tidak diikat dan di masukkan ke dalam anak tudung atau tidak diklipkan dengan klip rambut atau apa-apa saja cara yang boleh menyembunyikan rambut di sebalik tudung yang dipakai. Senario ini selalu dilihat berlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah, mahasisiwi-mahasiswi dan masyarakat wanita secara umum. Ini ternyata tidak menepati tuntutan menutup aurat yang telah ditetapkan.


Tidak kurang pula yang memakai baju yang bukan main labuh tapi tudung singkat sehingga menampakkan bahagian dada, ala-ala fesyen artis 'muslimah' masa kini. Bukanlah Allah telah berfirman di dalam suruh an-Nur ayat 31, "Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung (tudung) ke dadanya" Ertinya, tidak memadai jika kita telah menyembunyikan rambut kita dan anggota-anggota lain yang wajib ditutup seandainya bahagian dada masih menampakkan bentuknya. Jadi, jalan penyelesaian bagi masalah ini ialah dengan memakai tudung yang labuh atau sekurang-kurangnya melabuhkan tudung yang dipakai tanpa perlu mempinkannya ke tepi bahu dan sebagainya.


Berikut dipaparkan cara berpakaian yang menepati kehendak syariat:


Alangkah indahnya jika semua Muslimah berpakaian seperti ini...

Mungkin ada sesetengah muslimah yang tidak selesa melabuhkan tudung atau memakai pakaian yang memenuhi ciri penutupan aurat yang diwajibkan kerana berpendapat bahawa pakaian tersebut hanya sesuai untuk para ustazah, ibu-ibu, hajah-hajah dan sebagainya. Mentaliti seperti inilah yang perlu dikikis dan dilenyapkan daripada minda kita semua. Kita perlu tahu bahawa kewajipan menutup aurat ini adalah suatu kefardhuan ke atas setiap manusia tanpa mengira pangkat, darjat, karier dan sebagainya. Selagi mana manusia tersebut beragama Islam, maka segala hukum dan perintah wajib dilaksanakan termasuklah kewajipan menutup aurat.

Sekarang, sama-samalah kita muhasabah diri kita...

InsyaAllah, akan bersambung lagi...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails