Wednesday, May 6, 2009

sempurnakah kita menutup aurat [part 3]



Sedar tidak sedar, ini masuk entri yang ke tiga yang menyentuh mengenai penjagaan aurat. Tidak sangka, isu aurat ini merupakan satu isu penting yang sangat panjang pembicaraannya. Jika dalam entri sebelum ini, ana lebih fokuskan kepada penutupan aurat secara 'basic' atau lebih memfokuskan kepada mereka yang memang kurang menjaga batasan aurat, jadi dalam entri ini pula ana ingin tujukan kepada mereka yang memang tahu dan sangat-sangat menitik beratkan soal penjagaan aurat tetapi kurang sensitif atau peka dengan pakaian yang dipakai untuk 'menutup' bahagian aurat yang tertentu.

Golongan ini pastinya telah mempunyai kesedaran yang tinggi akan peri pentingnya menjaga aurat daripada tontonan awam. Mereka biasanya memakai tudung labuh yang sememangnya menepati tuntutan syariat, memakai sarung kaki dan juga sarung tangan, walaupun berada di bawah terik matahari. Semuanya dilakukan demi menunaikan tanggungjawab seorang Muslimah yang sejati yang mengharap keredhaan Rabbnya. Semoga golongan seperti ini akan terus berkembang biak di masa akan datang.

Jadi kalau begitu, apa lagi yang perlu dibincangkan?

Seperti yang telah ana jelaskan tadi, isu sensitiviti kita terhadap penutupan aurat kita perlu diberi perhatian. Ini kerana, ada sesetengah pihak (termasuk diri saya sendiri atau mungkin saya seorang sahaja di kalangan para Muslimah) yang menyangka dengan berpakaian seperti yang disebutkan di atas sudah menepati kehendak syarak. Tetapi malangnya, apabila diamat-amati dengan sebaik-baiknya, ada lagi beberapa kecacatan yang mungkin tidak disedari. Mungkin alasan 'tidak sengaja jadi tidak berdosa' sering dijadikan 'alas kubur' bagi permasalahan ini. Tetapi sampai bilakah kita hendak bergelumang dengan ke'tidaksengaja'an ini, sedangkan semakin hari ilmu semakin bertambah.

Sekali lagi, ana ingin tekankan 2 ciri utama menutup aurat ialah terlindung WARNA dan BENTUK nya. Menutup aurat bukan bermaksud sekadar meletakkan apa-apa material di atas anggota aurat tanpa memikirkan soal tebal atau nipis, jarang atau tidak, ketat atau longgar dan sebagainya.

Misalnya, sarung kaki. Ini masalah yang paling kerap berlaku di kalangan para muslimah. Pastinya di tahap ini, kita semua telah mengetahui dan memahami bahawa tapak kaki adalah salah satu daripada aurat kita dan oleh itu kita wajib menutupnya dengan menggunakan sarung kaki. Menutupnya bermaksud menutup warnanya dan bentuknya.

Tapi, kebanyakkan sarung kaki yang terdapat di pasaran adalah sarung kaki yang terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulit, jika dipakai seolah-olah tidak memakai sarung kaki langsung. Ada pula jenis sarung kaki yang tebal, dipanggil stokin, tetapi mempunyai 'jari-jemari', jika dipakai bentuk jari-jari kaki jelas kelihatan, persoalannya, tertutupkah bentuk tapak kaki dengan pemakaian stokin seperti itu? Ada juga yang memakai sarung kaki atau stokin yang pendek sehingga kadang-kadang boleh menampakkan bahagian buku lali dan atasnya semasa sedang berjalan ataupun duduk.

Masalah berikutnya pula ialah tudung. Ini lebih menyedihkan sebab ana sendiri faham betapa panasnya untuk menutup rambut dan kepada, tapi tidak berbaloi kepanasan yang dialami jika aurat masih juga terdedah. Material tudung yang terdapat di kedai-kedai, memang tidak dinafikan begitu nipis, dan jika tidak berhati-hati, boleh menampakkan bayangan rambut(terutama bagi mereka yang tidak memakai anak tudung) dan leher, lebih-lebih lagi jika berdiri di bawah cahaya matahari.

Sama juga halnya dengan baju dan skirt. Kadang-kadang, pakaian kita memang nampak tebal secara kasarnya, tetapi jika diperhatikan dengan teliti, sebenarnya tidak. Contohnya baju kurung, kadang-kadang kedua-dua batang betis kita masih tidak terlindung di sebalik kain yang dipakai.

Ada juga yang memakai baju yang mempunyai lengan pendek tetapi lengan yang selebihnya dibungkus dengan sarung tangan. Cara pakaian seperti ini rasanya masih belum menepati ciri penutupan aurat yang sebenar kerana sarung tangan adalah ketat, maka jika dipakai begitu sahaja, ia masih menampakkan BENTUK lengan kita.

Lebih sedih lagi jika pakaian-pakaian seperti inilah (tudung, sarung kaki nipis dll) yang digunakan untuk solat. (tanpa memakai telekung) Salah satu syarat sah solat iaitu menutup aurat dengan sempurna tidak ditegakkan jadi bagaimana mungkin sembahyang dapat diterima?

Jadi inilah di antara permasalahan sensitiviti kita terhadap penutupan aurat kita sendiri. Mungkin ada yang beranggapan bahawa perkara ini bukanlah suatu perkara yang layak untuk mendapat perhatian yang mendalam, lantas membuat keputusan untuk tidak mengendahkannya atau cuma bersikap acuh tidak acuh sahaja walaupun sudah mengetahui. Semua ini bergantung kepada niat masing-masing. Seandainya tujuan kita menutup aurat adalah untuk memperolehi keredhaan Ilahi, pastinya walau sesukar mana sekali pun pasti akan diharungi.

Oleh itu, saranan kepada diri ana sendiri yang dhaif ini dan kepada para muslimah yang dikasihi, sempurnakanlah penjagaan aurat kita agar dapat menjadi Qudwah hasanah kepada para muslimah yang lain. Carilah cara-cara yang sesuai untuk menyempurnakan penutupan aurat kita. Cadangan ana, gunakanlah pakaian lapis (di dalam)untuk melapisi pakaian luaran kita, misalnya baju lapis, sarung kaki lapis, tudung lapis. Mungkin ada yang kata "Alah... Lecehlah nak pakai semua lapis-lapis nie! Panas tau tak?!" Tahu dan faham sangat... Tapi, bak kata pepatah melayu yang telah di'islam'kan, "Berpanas-panas di dunia, bersejuk-sejuk di syurga" insyaAllah... Lagipun apa sangatlah kepanasan di dunia jika dibandingkan dengan kepanasan api neraka...

Alhamdulillahhi kathira, nampaknya segala yang selama ini terbuku di dalam hati telah dapat ana muntahkan di sini. Semoga entri-entri mengenai aurat setakat ini ada manfaatnya bagi diri ana sendiri dan sesiapa yang sudi. Sepuluh jari disusun rapi sebagai tanda kemaafan seandainya terdapat kesalahan atau terdapat bahasa yang kurang menyenangkan. Apa-apa pun, ana mohon petunjukNya jua agar tidak terpesong dari landasan yang sebenar. Faghfirli ya Allah...
wallahua'lam...

p/s ke tiga2 artikel ini diambil dari http://dalamsatusaff.blogspot.com/2008_07_01_archive.html semoga semua dpt ambil iktibar n pengajaran...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails